BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 25 March 2011

Cerpen diri


Lautan menghijau bukti kebesaran Allah ini merupakan kedamaian buatku. Semenjak aku dilahirkan hinggalah kini, lautan menghijau hiasan alam yang terhampar indah sudah hampir sebati dengan jiwaku. Rumah usang di tengah sawah bendang merupakan singgahsana yang ku anggap terindah. Walaupun bukanlah istana mewah yang tersergam megah tersedia buatku tika aku dilahirkan ke dunia namun inilah kebahagiaan buatku. Aku bersyukur atas kurniaan dan nikmat dunia yang Allah SWT berikan tika aku menjadi hamba yang menumpang di bumi ciptaanNya ini.
            Lambaian pohon kelapa adalah ketenangan yang sentiasa membelai sanubariku. Kemiskinan keluarga adalah semangat yang menjadi tiang dalam aku menongkah hidup sebagai seorang permaisuri kecil buat keluarga. Senyuman dua insan yang ku anggap bagaikan malaikat yang sentiasa menjagaku adalah penawar yang sentiasa mengubati luka hati yang terhiris. Begitulah kehidupanku sebagai seorang anak yang memikul tanggungjawab dan amanah keluarga dalam usaha membina kehidupan sebuah keluarga yang selesa.
            Ketika aku masih merangkak dalam mengenal erti sebuah kehidupan, aku bagaikan puteri kecil yang mewarnai keceriaan sebuah keluarga. Diriku ini diasuh dan dilindungi tanpa dibiarkan disentuh oleh bahaya yang datang. Ibu dan ayah adalah penjaga, pendidik dan pemerhati terbaik buat aku hingga ke saat ini.
            Wajah keperitan dalam mencari sesuap nasi tidak pernah dipaparkan oleh ayah yang setia. Tidak pernah kata kehampaan mahupun kesengsaraan dilontarkan kepada anak-anak tercinta. Keluh kesah tika impian anak-anak tidak berjaya ditunaikan dibiarkan tersemat jauh di dalam sanubari. Biarpun hujan duka datang melanda, ayah ku tetap bangga dengan senyuman tika anak-anaknya datang menyapa. Ya-Allah, mampukah aku membalas titisan peluh kesusahan ayah ku yang gugur membasahi bumi tika membesarkan aku sedari kecil hinggalah kini?. Himpunan doa ku panjatkan buat ayah tercinta agar hidupnya akan sentiasa bahagia.
“Tuhanku, rahmatilah akan kedua ibu bapaku sebagaimana kedua-duanya telah mendidik aku di kala kecil”
            Namun siapalah aku tanpa insan bernama ibu. Tidak dapat ku bayangkan peritnya derita ibu ketika melahirkan seketul daging bernyawa ini. Kesakitan ibu tika itu tidak akan kupersiakan. Kebahagian ibu adalah janji yang tidak akan pernah aku luputkan dari hati ini. Aku berjanji dengan segenap hati bahawa aku akan membalas setiap darah ibu yang tumpah kerana melahirkan aku. Namun aku pasti sampai akhir hayat pun tidak akan pernah jasa ibu terbalas kerana pengorbanan ibu sungguh besar. Tanpa ibu aku tidak akan pernah mengenal insan bernama ayah, tanpa ibu juga aku tidak akan mengenal erti kasih sayang dan pengorbanan malah tanpa kekuatan ibu juga aku tidak akan pernah berkesempatan untuk melihat alam ciptaan Tuhan ini.
“…Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik terhadap ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung sampai akhir menyusukannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu dan ingatlah kepada Allah jua tempat kembali untuk menerima balasan.” (Surah Luqman : 14)
            Masihku ingat tika aku mulai melangkah ke alam persekolah, sejuta pesanan dan harapan dilabuhkan buatku oleh ibu dan ayah. Doa yang tidak putus sentiasa mengiringi aku tika aku menyusuri jalan duka mahupun suka. Mereka tidak pernah membiarkan aku rebah berseorangan dalam kegelapan. Tanganku akan disambut seerat mungkin agar aku tidak terus rebah dalam kegagalan. Capaian tangan yang semakin lemah bersama usia itu adalah tangan yang berjasa buatku. Tidak akan sesekali aku lupakan sentuhan tangan keramat itu.
            Suatu ketika saat aku berduka menitiskan airmata kerana kegagalan dalam pelajaran, mereka memeluk erat tubuh kerdilku ke dalam dakapan penuh kasih sayang. Tidak sesekali mereka melepaskan aku pergi menyusuri jalan kekecewaan. Kata-kata indah dihadiahkan buatku walaupun tika itu hati mereka turut bercelaru membimbangi aku. Namun, tidak sedikit pun mereka luahkan rasa itu. Kekentalan dua jiwa itu membuat aku bangga menjadi cahaya mata kepada mereka. Tidak pernah bibirku lepas dari mengucapkan syukur atas pemberian Tuhan yang tiada tolak bandingnya. Tidak pernah dan tidak akan sesekali aku ungkapkan kata penyesalan.
            Waktu berlalu membawa aku menaiki tangga usia yang penuh dengan pencaroba. Walaupun masa yang berlalu tidak merubah kepayahan hidupku namun aku tetap redha. Tuhan masih mencipta cahaya buatku. Lingkaran kebahagian masih setia bersama keluarga yang dibina. Ibu dan ayah masih tersenyum gembira melihat aku membesar di depan mata mereka. Aku masih didakap manja bagai anak kecil yang masih merintih pinta dijaga. Walaupun kadang-kadang perhatian mereka membuat aku digelar anak manja namun tidak pernah aku hiraukan. Pada ku mereka adalah permata hati yang abadi. Mereka layak untuk membelai aku semahu mereka kerana aku adalah insan bernama cahaya mata.
            Masih ku ingati tika aku di bangku sekolah rendah dulu. Ayah bersama motosikal buruknya setia menghantar dan mengambilku dari sekolah. Tidak sesekali dibiarnya aku pergi bersendirian ke sekolah kerana kebimbangannya akan keselamatan aku. Tika hujan lebat tumpah membasahi bumi, aku dipakaikan baju hujan oleh ayah agar tidak kebasahan sedangkan ayah ditimpa hujan lebat tanpa sebarang alas. Pada ayah biarlah dia basah tetapi dia tidak mahu anaknya kesejukan di dalam kelas nanti. Kesungguhan ayah cukup membekaskan rasa di dalam dada. Sungguh besar jasamu ayah.
            Menikmati kebahagiaan tika di usia kanak-kanak sesungguhnya sesuatu yang sukar dilupakan. Walaupun kadang-kadang gadis nakal ini seringkali merengek kerana impian kecilnya gagal dipenuhi oleh ibu dan ayah namun pujukan manja ibu cukup melembutkan hati yang masih mentah dalam mengenal erti kesusahan hidup. Melihat kawan-kawan membawa beg sekolah yang beroda adalah impianku untuk memilikinya ketika di tahun empat. Teringat kembali tangisan aku tika itu apabila ayah enggan membelikan beg itu buatku. Semalaman aku tidak menjamah walau sebutir nasi bagi mempamerkan rasa ketidakpuasan hatiku tika itu. Sungguh lemah sekali aku tika itu dalam mengenal erti sebuah keperitan dalam mengharungi kehidupan, yang aku tahu hanyalah menyusahkan dan menjadi impian gilaku suatu yang nyata. Tanpa aku sedar setiap kata impian yang keluar dari bibirku mengundang seribu satu kebimbangan buat ibu dan ayah. Bukan mereka tidak mahu merealisasikan impian puterinya ini tetapi mereka tidak berkemampuan. Mungkin jika aku dapat mengerti situasi ayah ketika itu aku tidak akan meminta itu ini untuk mencukupi impian di dada. Tapi aku masih anak kecil yang tidak tahu apa-apa.Maafkan aku ayah ibu.


“Wahai Tuhanku maafkanlah akan daku kerana sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Pemaaf dan yang mempunyai kemuliaan.”
            Suatu ketika saat aku akan melangkah ke usia remaja, perasaan ibu dan ayah mulai tidak menentu. Kebimbangan membeku di dalam jiwa lantaran bimbang anak kesayangan mereka tenggelam dalam arus dunia. Usia ibu dan ayah yang semakin tua menambahkan lagi pemberontakan di dada. Mereka bimbang jika mereka tidak lagi mampu memimpinku sehingga impian aku terlaksana. Seperti anak kecil yang baru memasuki tadika, aku diberi berjuta pesanan tika aku ingin menempatkan diri di sebuah asrama yang jauh dari pandangan mereka. Segala kelengkapan diri mereka sediakan dengan harapan agar aku selesa di sana. Menitis air mata jernih tika aku menatap wajah dua insan itu. Mulut ini seolah mahu sahaja kabarkan kepada mereka bahawa anak mereka ini sudah matang dalam meniti usia. Namun siapalah aku untuk menyatakan semua itu. Aku cuma anak yang belum tentu syurga atau neraka. Aku membiarkan mereka melakukan apa yang diingini dengan satu harapan iaitu agar mereka bahagia dengan kehidupan yang dicipta.
            Istana indah di tengah sawah aku tinggalkan bersama doa dan harapan. Ibu dan ayah melambai tangan penuh kesyahduan ketika aku melangkah meninggalkan mereka. Masihku ingat ketika menyalami tangan ayah ketika itu. Tangan kecilku digenggam erat seperti enggan dilepaskan. Ubun kepala ku diusap tanda merestui pemergianku ke lapangan jihad Allah SWT. Aku merenung wajah tua ayah, lalu air mataku tumpah bersama dakapan ayah. Ayah senyum memandang wajahku lalu mengangguk menandakan ayah melepaskan aku pergi membawa harapan keluarga. Ibu yang setia memerhatikan tingkah aku dan ayah hanya tersenyum seolah mengiakan kata-kata daripada ayah. Tubuh ku rebahkan pula ke dalam dakapan ibu tercinta yang setia memerhati semenjak tadi. Pipiku dicium penuh kasih sayang seakan aku pergi tidak kembali. Ya-Allah, besarnya rahmatMu kepada insan bernama manusia.
            Ketika aku gigih merealisasikan impian yang dibawa keluarga, aku rebah seketika. Ombak ganas remaja menenggelamkan aku ke dalam lautan duka. Sahabat yang ku harapkan menjadi pembimbing tika aku kekeliruan dalam mencari jalan kejayaan rupanya api yang membakar dalam diam. Aku tenggelam dalam kesilapan memilih insan bernama sahabat. Kelekaan menerpa tanpa dipinta. Keseronokan dunia umpama senjata yang menikam jiwa. Pergaulanku mulai meluas tanpa mengira jantina. Ya-Allah, berdosanya aku sebagai hambaMu.
            Kehidupan dunia remajaku umpama bunga mekar yang tiada serinya. Walaupun keindahan dunia itu ada namun ianya tidak punya erti apa-apa. Aku jauh dari rahmat Allah. Sewaktu jiwa memberontak inginkan kepuasan dunia, tanpa aku sedari ayah dan ibu menangis hiba mengenangkan anaknya. Sesekali kebimbangan itu terluah jua walaupun cuba dialas dengan pelbagai helahan. Namun aku cukup mengerti perasaan ibu dan ayah tika itu, cuma keegoan usia remaja membuatkan aku buta untuk menilai kasih sayang yang jelas terbentang di depan mata.
Allah Maha Besar. Dia masih menyayangi aku. Aku diberi kesedaran akan erti sebuah kehidupan yang penuh duri semalam. Keinsafan mulai timbul dalam diri tika membaca sebuah artikel berkaitan Islam. Ketika itu aku rasakan diriku begitu kosong sebagai penganut agama teragung iaitu Islam. Pelbagai persoalan mulai timbul dalam diri akan kehidupan mendatang. Amanat ibu ayah yang ku galas ini seakan-akan gagal untuk dicapai. Keinsafan memenuhi hati kecil yang penuh dosa semalam.
“Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami kebaikan dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari azab api neraka.”
            Namun, aku pasti Allah itu Maha Pengampun. Keampunan ku pinta daripada Allah pencipta sekalian alam sambil ku tekadkan dalam diri bahawa ini adalah taubat nasuhaku. Tangisan keinsafan ku tumpahkan di hamparan sejadah dengan harapan moga aku diberi petunjuk dan hidayah. Dosaku dengan ibu ayah kerana gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ku tebus dengan memohon keampunan daripada mereka. Aku takut sekiranya ibu ayahku enggan memaafkan aku, apakah akan terjadi pada aku nanti. Adakah aku akan menjadi seperti Si Tanggang? Tidak, aku mahu hidup matiku dalam keredhaan ibu ayah kerana aku pasti tanpa keredhaan daripada mereka sudah pasti aku tidak akan mendapat redha daripada Allah.
“…Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)
            Kasih ibu sehingga ke syurga, kasih ayah kekal selamanya. Sucinya hati mereka dalam memberikan keampunan buat anak yang berdosa ini. Masih aku ingat tika aku memeluk ayah memohon kemaafan tika itu. Tidak sedikit pun kata-kata kesat dikeluarkan dari bibirnya, yang ada hanyalah ucapan kesyukuran kepada Allah SWT. Hatiku tersentuh dengan kejujuran dan keikhlasan ayah tika itu. Anak mana yang tidak terharu tika dosanya diampunkan oleh insan yang bernama ibu ayah dengan segenap keampunan. Sekilas aku memandang wajah mulus milik permaisuri hatiku yang bernama ibu. Hatiku tersentuh tika melihat air mata ibu jatuh kerana aku. Ya-Allah, aku berdosa kerana menumpahkan permata jernih milik insan yang melahirkan aku. Tangan ibu ku capai dan tubuh aku rebahkan di kaki ibu memohon keampunan. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Tubuhku dirangkul erat dan dirapatkan ke dalam pelukan. Terungkap pengakuan jujur dari ibu bahawa dia tidak pernah menyalahkan aku atas segala yang berlaku. Pada ibu segala yang terjadi telah direncanakan oleh-Nya. Saat itu, telah ku tanamkan utuh di dalam hatiku bahawa kesilapan ini adalah yang terakhir ku lakukan dalam menyusuri kehidupan duniawi yang fana ini. Tidak akan sesekali aku terjerumus lagi ke ruang gelap yang penuh dusta dan noda. Namun aku tetap bersyukur kerana diriku masih dipelihara oleh Allah SWT pencipta tujuh petala langit ini.
            Aku memulakan kehidupan baru dan meninggalkan bekas hitam semalam dengan penuh kekuatan. Ayah dan ibu tersayang mencipta impian untuk melihat aku terus bebas membawa kemenangan sebagai anak yang cemerlang. Aku dipindahkan ke sekolah baru yang berdekatan dengan kampung halaman. Pada mulanya ayah keberatan untuk menyuarakan pendapatnya untuk menukarkan aku ke sekolah baru namun apabila difikirkannya perlu barulah dia berani menyampaikan hasrat hati yang terpendam. Aku menerima keputusan yang diambil dengan hati yang terbuka. Senyuman ku ukirkan tanda tiada bantahan yang ingin aku suarakan.
            Ketika usia aku menjangkau 15 tahun aku ditempatkan di sekolah baru. Terpancar jelas kepuasan ibu dan ayah saat itu. Mereka gembira kerana puteri kesayangan mereka ini tidak lagi jauh dari pandangan. Aku sedar keputusan yang dilakukan ibu dan ayah itu semata-mata untuk kebaikan aku. Mereka tidak lagi mahu melihat aku terus leka dalam keseronokan dunia. Pada mereka biarlah aku jelas dipenglihatan agar mereka lebih mudah membentuk perilaku ku. Walaupun kadang-kadang ku rasakan seolah-olah tidak mendapat kebebasan yang sepenuhnya namun bila aku hayati pengorbanan mereka baharuku sedar bahawa segala yang dilakukan adalah untuk kebaikan aku. Hati kecilku seringkali berbisik merintih kekuatan dengan memujuk jiwa agar melenyapkan segala kekusutan dan andaian yang mampu merosakkan keperibadian. Biarlah aku dianggap seperti anak kecil yang diawasi ayah ibunya. Aku tidak kisah semua itu lagi asalkan aku tidak menjadi anak yang derhaka.
            Ibu dan ayah umpama penguat semangat yang tidak pernah pudar. Namun, dalam aku meniti usia remaja yang masih muda aku masih memerlukan sokongan insan bernama teman. Kali ini aku tekadkan bahawa aku tidak lagi mahu berjalan seiring bersama teman yang merosakkan. Biarlah aku hanya memerhati mereka di sebuah persimpangan. Aku tidak lagi mahu mengikuti mereka ke lorong kehancuran. Ketika aku menoleh kiri dan kanan, bergaul dengan puluhan manusia, mendalami segenap rasa jiwa akhirnya aku bertemu dengan insan yang bernama teman. Teman sejati. Aku bersyukur kerana Allah SWT mengirimkan dia kepada aku di saat aku berlari mencari insan yang mampu bersama-sama aku membina tembok kejayaan dunia dan akhirat.
            Aku tersenyum puas apabila sahabat yang dicari datang menghampiri. Dialah sahabat yang setia menemani tika aku resah mencari jawapan kepada kekusutan. Dia tidak pernah meninggalkan aku seperti teman-teman dulu. Dia juga tidak pernah menolak aku ke jurang kehampaan, sebaliknya dia seringkali menarik tanganku agar aku tidak terjatuh lagi. Senyuman ikhlas sentiasa terukir indah di bibirnya. Acapkali dia ungkapkan pada aku bahawa dia dan aku sahabat sejati. Hanya Allah SWT yang tahu betapa bersyukurnya aku tiap kali mendengar patah-patah kata itu. Mahu sahaja aku jerit sekuat hati agar dia tahu bahawa aku terlalu menghargainya sebagai sahabat dan aku menyayanginya hanya kerana Allah SWT.
            Hembusan tenang sang angin umpama tenangnya hatiku tika ini. Parut semalam kian sembuh dan bauan bunga indah kembali mekar di taman hatiku. Kehidupanku kembali ceria umpama kicauan burung di udara. Saat ini baruku tahu betapa bernilainya harga sebuah perhubungan. Aku semakin dewasa dalam mengenal erti keikhlasan dan kasih sayang. Keluarga mengajar aku segenap erti dalam kehidupan dan sahabat membawa aku menyusuri laluan kehidupan yang tidak pernah ku gambarkan. Semuanya aku anggap rahmat Allah SWT tanda dia menyayangi hambaNya. Aku semakin yakin dengan kebesaran Allah SWT. Diriku semakin dekat dalam mengenal Dia yang Maha Esa. Tidak akan ku palingkan lagi hatiku untuk terus mengenal Dia.
            Ketenangan hatiku yang mendendangkan lagu indah ini kembali sepi tanpa suara apabila aku bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Harapan ibu ayah yang sekian lama aku galas umpama amanah yang tidak akan aku abaikan. Hatiku kembali gementar dengan seribu kerisauan. Telah aku tekadkan dalam jiwa bahawa tidak akan sesekali aku musnahkan harapan yang dibina oleh ibu dan ayah. Wajah ibu ayah seringkali aku tenung sedalam mungkin sebagai sumber motivasi. Tidak sanggup rasanya aku melihat air mata kehampaan mereka gugur lagi kerana kegagalan diriku. Usaha aku tingkatkan dan doa aku pohonkan ke hadrat Ilahi agar kejayaan aku perolehi.
            Kini, pelajaran menjadi keutamaan diri tanpa melupakan tanggungjawab kepada Ilahi. Aku menjadi teman setia kepada buku. Waktu yang Allah berikan 24 jam sehari dirasakan seolah-olah singkat sekali. Hingga tiba waktunya aku akan melangkah ke dewan yang akan menentukan rencana kehidupanku pada masa hadapan. Langkahku ke dewan peperiksaan diiringi doa restu insan tersayang bernama ibu ayah. Sungguh terharunya aku bila ayah dan ibu mengirimkan bersama kata-kata indah sebagai bekalan untuk aku menghadapi medan jihad. Terngiang-ngiang lagi kata-kata ibu ayah tika itu “adik, ibu ayah tak ada harta nak tinggalkan pada adik. Jadi adik mesti usaha sungguh-sungguh”. Kucupan mereka pada dahiku membangkitkan lagi semangat yang kian memberontak untuk mencapai kejayaan yang masih belum pasti dalam genggaman. Namun, aku kuatkan tekad bahawa aku boleh berjaya.
            Hampir dua minggu aku bertarung demi sebuah kejayaan dan harapan. Degupan kencang jantung akhirnya berakhir jua. Hatiku mulai tenang kembali. Namun tika aku tersenyum gembira tanpa aku sedari dua jiwa itu sedang bertarung dengan kebimbangan. Ibu dan ayahku sedang membimbangi akan masa hadapanku kelak. Mereka takut anak kesayangan mereka menangis hiba jika impian yang diharapkan gagal terlaksana. Mereka juga enggan melihat anak mereka ini merintih sayu tika melihat sahabat-sahabatnya yang lain sedang berlari mengejar kejayaan sedangkan anak mereka termenung mengenangkan masa hadapan yang pudar gerhana. Ya-Allah, berdosakan aku kerana membiarkan hati kedua insan itu resah gelisah kerana aku?.
            Akhirnya, keputusan SPM diumumkan. Peluh halus mulai terbit di wajahku saat aku berbaris untuk mengambil sehelai kertas yang akan menentukan jalan kehidupanku kelak. Terbayang wajah harapan ibu ayah yang sedang menanti penuh debar kejayaan yang bakal aku bawa nanti. Sesekali jantungku berdegup kencang kerana takutkan kenyataan yang bakal aku terima. Realiti sudah di depan mata, aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberikan aku nikmat kejayaan ini. Walaupun aku bukanlah antara pelajar terbaik namun cukuplah keputusan yang aku perolehi ini mampu membuka ruang dan peluang untuk aku meneroka jalan yang lebih cerah. Kejayaan yang aku peroleh ini ku raikan bersama sahabat sejati yang setia berada di sisi ku. Alhamdulillah, dia juga turut berjaya sepertiku.
            Melihat kejayaanku, ibu dan ayah tersenyum puas. Inilah hadiah paling bernilai yang mampuku hadiahkan buat insan tersayang saat ini. Aku gembira tika melihat ibu dan ayah juga gembira. Walaupun aku sedar kejayaan ini masih tidak mampu untuk membalas jasa dan pengorbanan kedua orang tuaku namun cukuplah jika aku mampu membahagiakan mereka dengan segenap khudrat yang terdaya.
            Selepas peperiksaan SPM aku menyambungkan pelajaranku ke tingkatan enam. Bukan aku tidak ditawarkan untuk ke IPTA atau IPTS tetapi menyambung pelajaran ke tingkatan enam aku rasakan suatu keputusan yang terbaik. Usaha aku gigihkan dan semangat diri tetap aku padatkan di jiwa. Aku bersyukur kerana sahabat sejatiku masih setia bersamaku. Kami bersama-sama belayar di lautan impian yang dipenghujungnya tersergam indah pulau kejayaan. Namun untuk sampai ke pulau itu pelbagai dugaan dan cabaran harus kami tempuhi. Kesungguhan kami untuk ke gerbang menara gading menguatkan lagi semangat untuk kami terus berusaha. Kekadang aku kian rebah kerana tidak mampu mangharungi gelora lautan perjuangan ini, namun sahabatku datang menghulurkan tangan. Dia yakinkan aku bahawa setiap kejayaan punya halangan. Dia tidak pernah pudar dengan senyuman. Setiap bicara yang dituturkan diiringi dengan ukiran senyuman indah yang membuatkan aku selesa dan tenang tika berbicara dengannya. Terima kasih Ya-Allah kerana Kau mengirimkan insan ini buatku.
            Sekali lagi pertarungan jihad harus ku tempuhi. Kali ini aku tetapkan dalam diri bahawa kejayaan akan menjadi milik aku dengan izinNya. Aku berusaha menggerakkan pena demi impian masa hadapan. Segalanya selesai dengan sejuta kesyukuran. Namun demikian, tika menanti saat keputusan bakal diumumkan, hati ini berdegup kencang. Titisan jernih mulai muncul di dahiku. Aku bimbang andai keputusan peperiksaan kali ini tidak seperti SPM dulu. Bagaimana harus aku khabarkan pada ibu ayah nanti?. Adakah senyuman yang dulunya mekar terukir akan berubah menjadi tangisan duka dan hampa?. Tidak, aku tidak akan biarkan perkara itu berlaku. Mereka insan terindah buatku. Mereka tidak layak untuk merasa sedih atau berduka.
            Allah masih menyayangiku. Kejayaan masih menjadi milikku. Wajah kebanggaan jelas terpancar di wajah tua milik ayah dan ibu. Senyuman lebar ayah membuatkan aku yakin bahawa hati ayah kini sedang berbunga gembira. Tangisan ibu kali ini merupakan tangisan kesyukuran dan bukannya tangisan duka seperti dulu lagi. Aku bersyukur padaMu Ya-Allah atas nikmat kejayaan yang Kau berikan buatku ini. Sesungguhnya tiada kata yang terucap melainkan menadah tangan dan bersujud ke hadrat Ilahi dengan sepenuh hati tanda bangga menjadi hambaNya.
            Kejayaan yang kurangkul ini membuatkan aku berjaya menempatkan diri di salah sebuah universiti pendidikan awam. Berita gembira ini disampaikan oleh teman tersayangku yang turut sama berjaya menempatkan diri di universiti yang sama. Hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa gembiranya hatiku tatkala perkhabaran baik itu menjengah ke telinga. Sinaran kebahagian memancar indah di sudut hatiku atas kejayaan yang tercipta. Walaupun aku sedar perjalanan ku masih panjang dan berliku namun kejayaan ini umpama pembuka jalan ke arah mencapai sebuah impian. Kemanisan yang tercipta kurniaan Tuhan ini aku kongsi bersama insan tersayang bernama ibu dan ayah. Air mata kebahagiaan milik mereka tumpah lagi. Namun kali ini air mata itu bukanlah lambang kedukaan mahupun keperitan, aku yakin itu adalah tangisan yang cukup bermakna. Wajah bercahaya itu aku hadiahkan dengan kucupan ikhlas tanda aku menghargai mereka sepenuh jiwa. Aku sedar tanpa mereka tiadalah kejayaan ini, tanpa mereka juga tiadalah kegembiraan pengukir kebahagiaan yang indah terpapar di depan mata.
            Ayah ibu, terima kasih kerana sanggup bertahan dengan kerenah anak nakalmu ini. Tidak terhenti setakat itu, dugaan datang menjengah. Benarlah kata orang laut mana yang tidak bergelora dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Ayah ibu sedang berdepan dengan seribu satu dugaan dalam usaha melengkapkan persiapanku ke pusat pengajian. Pendapatan yang setakat cukup makan membuat ayah bimbang jikalau dia gagal untuk mencukupi keperluanku. Bergetar hatiku tika mendengar ayah menyuarakan kebimbangannya kepada ibu. Terasa bersalahnya diri ini kerana menyusahkan dua insan yang kian menjangkau usia tua itu. Tapi apalah dayaku, aku tidak punya siapa-siapa lagi mahu diharapkan. Ibu dan ayah adalah satu-satunya permata yang aku ada di dunia ini. Usahaku tika itu hanyalah menadah tangan memohon bantuan Allah pemilik sekalian alam.
            Mendung yang melakarkan lukisan di dada langit seolah mengerti kedukaan yang menjengah di hatiku tika ini. Bantal busuk kesayanganku manjadi saksi tangisan kerisauan yang menerpa dalam diri. Aku membimbangi situasi ibu dan ayah. Aku mahu turut sama merasai kesusahan mereka kerana seorang insan bernama cahaya mata. Kalau ikut hatiku ingin sahaja aku khabarkan kepada mereka bahawa aku tidak perlukan apa-apa. Cukuplah doa yang mereka siapkan buatku sebagai bekalan tika aku di sana nanti.
            Kudrat tulang empat kerat milik lelaki bernama ayah itu digunakan semampu daya untuk mencari wang demi anaknya ini. Tidak pernah hadir keluh kesah di bibir ayah tika keletihan datang menjengah. Bangga aku dengan ayah yang seorang ini. Ibu pula seakan faham penderitaan ayah. Semangat dan senyuman sering sahaja terukir di bibir indah milik ibu tatkala wajah tua ayah dipandang. Aku tahu sikap ibu itu cukup untuk menjadi penawar ayah tika kelesuan. Dua jiwa ini memang cukup saling memahami. Moga suatu hari aku akan dikurniakan kebahagian seperti ini lagi.
            Akhirnya, aku melangkah ke menara gading yang diimpikan. Harapan, doa dan sokongan mengiringi langkahku. Kali ini wajah ibu ayah seakan yakin untuk melepaskan aku pergi. Wajah tenang mereka seperti ingin mengkhabarkan bahawa mereka sudah cukup percaya dengan kematangan diri aku yang terbina. Aku gembira melihat wajah dua insan itu tersenyum riang walaupun disebalik senyuman itu tergambar sebuah keperitan yang entah bila akan berkesudahan. Aku berjanji kedukaan itu akan segera aku padamkan agar kebahagiaan yang abadi hadir menyeri.
            Kehidupan ku tika memasuki universiti merupakan kenangan terindah yang tidak pernah ku impikan. Kebahagiaan yang terhampar di hadapan mata membuatkan jiwaku tenang walaupun tika berjauhan dengan permata tersayang bernama ibu dan ayah. Namun begitu, hati ini masih kukuh menyematkan nama mereka jauh tersimpan indah di sudut hati kecilku. Mana mungkin aku melunturkan nama itu dari hati ini.
            Pada tahun pertama aku di universiti, aku mengalami kesulitan untuk membiasakan diri dengan situasi pembelajaran yang baru. Sikapku yang agak pendiam membuatkan aku lebih gemar berada dalam kalangan teman terdekatku saja. Aku bersyukur kerana sahabat tersayang yang ku kenali di bangku sekolah menengah dulu turut mendapat jurusan yang sama denganku. Segala permasalahan ku kongsi bersamanya kerana keakraban yang dibina membuat aku selesa untuk berkongsi isi hati ini dengan insan bernama sahabat yang seorang itu.
            Namun, masalah datang menjengah tika hati ini sedang membuka luas pintu kegembiraan. Teman sebilikku yang baru kukenali seolah tidak menyenangi kehadiran diri ini sebagai teman yang berkongsi sebuah bilik kecil bersamanya. Tidak hadir riak gembira di wajah milik gadis itu. Jiwaku mulai tidak tenang kerana bimbang jika diri ini menimbulkan rasa tidak selesa buat dirinya yang ku anggap teman dan sahabat. Berjuta persoalan ku kirimkan buat insan bernama sahabat itu dengan harapan aku bertemu sebuah jawapan kepada suatu permasalahan. Namun sikapnya yang lebih gemar berdiam diri membuat aku tertekan dengan sejuta kebimbangan.
            Ya’Allah, tunjukkan aku jalan. Hanya itu yang mampu aku lakukan tika berdepan dengan liku kehidupan. Setiap hari, diriku rasa berat sekali untuk pulang ke rumah. Sikap teman sebilikku itu membuat aku sedih untuk menghabiskan sisa-sisa waktuku di rumah. Namun aku sedar, untuk melarikan diri dari semua itu bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Teringat aku pesan insan bernama ibu, “berbaiklah dengan semua kawan walaupun kadang-kadang datang masalah”. Kata-kata itu membuat aku yakin dengan apa yang akan aku lakukan. Aku harus berbincang dengan teman itu. Ini ujian kecil daripada Allah, Allah tidak akan pernah memberikan dugaan melebihi kemampuan hambanya.
            Wajah putih bersih milik temanku itu ku tatap sedalam mungkin. Aku meluahkan rasa hati agar dia memahami bahawa aku sedang kebimbangan dengan keadaan yang terjadi. Tangannya ku sentuh dan ku genggam erat. Anak matanya ku tenung agar dia juga turut memahami apa yang ku rasa. Tiba-tiba, permata halus mengalir dari mata insan di hadapanku itu. Jantungku bergetar laju menandakan aku sedang berhadapan dengan masalah baru. Kenapa dengan sahabatku ini?. Tubuhku dirangkul ke dalam pelukankannya dengan erat. Tangisannya semakin jelas kedengaran, dapat aku rasakan tika itu air mata panasnya membasahi bahuku. Aku membiarkan sahaja perlakuannya kerana aku yakin temanku itu sedang melepaskan rasa hatinya.
            Ya’Allah…dugaanMu datang lagi kepada hamba yang lemah ini. Sahabat yang tidak sampai setahun ku kenali itu rupaya sedang menderita kebimbangan atas ujian yang Kau turunkan. Rupa-rupanya sahabatku itu sedang menghidapi sejenis penyakit. Terasa bersalahnya aku kerana membuat andaian di luar kebenaran.
            Setiap yang berlaku pasti punya hikmah disebaliknya. Gelora yang melanda aku dan sahabat itu rupanya bukanlah tsunami yang membinasa tetapi ombak yang biasa. Aku mendidik diriku untuk memahami hati seorang teman itu dan begitu juga dia. Kami mulai menanam jalinan ukhwah yang tumbuh subuh dengan redha Allah. Tidak kami biarkan keretakan yang lalu menjadi alasan untuk kami tidak terus bersatu. Alhamdulillah, insan bernama sahabat itu mampu tersenyum girang walaupun dalam keperitan menghadapi ujian Tuhan. Semangatku bekalkan buatnya, senyuman ku hiasi tika wajah kami bertemu dan doa ku kirimkan agar dia sihat selalu.
            Akhirnya, sebuah ukhwah yang setia terbina. Dia semakin yakin dengan kejujuran yang kuhulurkan buat sekeping hati bernama sahabat itu. Kini, dia mampu meluahkan segala keperitan jiwa yang melanda kepadaku. Cukuplah itu buatku. Mendengar luahan rasa hatinya cukup menggembirakan diriku. Walaupun kadang-kadang aku tidak mampu menolong meredakan kekusutan yang melanda tapi cukuplah jika aku hanya mampu mendengar. Mendengar luahan hati seorang teman merupakan sesuatu yang indah ku rasakan. Terasa diri ini dihargai sebagai seorang insan bergelar sahabat.
            Syukurlah ya’Allah, hati ini kembali tenang tanpa gelora semalam. Hari-hariku diisi dengan seribu satu keperluan sebagai seorang insan bergelar pelajar. Namun, dalam aku berkejar ke sana ke mari menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti, hati ini berdetik lagi. Ya’Allah adakah ini ujian atau sekadar hasutan syaitan. Diriku mulai bertanya kepada hati apabila melihat teman di sekeliling punya teman menghiasi sepi di hati. Kekasih? Haruskah aku dan perlukah aku untuk itu. Syaitan mulai membenihkan hasutan. Terasa indah hidup mereka tika bergelak ketawa bersama insan tersayang bernama kekasih di talian sedangkan aku berkeseorangan. Timbul juga rasa hati untuk menjalinkan hubungan tapi adakah aku perlu untuk itu. Akhirnya, syaitan menaiki takhta kemenangan apabila hati aku berjaya ditakhluki.
            Aku mulai membenihkan bunga kasih bersama seorang lelaki bernama kekasih. Terasa indahnya tika mentari menyinar tanpa gerhana menimbulkan diri. Kebahagiaan yang ku cipta ku jaga dengan batas-batas yang ada. Kononnya nak wujudkan perhubungan berlandaskan Islam. Tutur bicara kami alasi dengan kesopanan, pertemuan kami hadirkan dengan berteman dan kerinduan kami selitkan dengan doa dan harapan. Perhubungan yang berbunga indah itu berlanjutan hinggalah aku memasuki semester kedua pada tahun pertama aku di universiti.
            Hati ini tersedar dari mimpi indah yang tercipta. Terasa berdosa kerana menjadi seorang hamba yang leka dalam keindahan dunia semata-mata. Namun syaitan masih belum puas menghasut hamba Allah yang leka. Aku masih belum cukup kuat untuk membina sebuah kebenaran yang pasti. Sehinggalah suatu hari aku mendengar ceramah dari seorang pendakwah terkenal, katanya “bercouple itu haram”. Ya’Allah, kesedaran mulai timbul dalam sekeping hati milik diri ini. Kebenaran yang terbentang di depan mata aku kukuhkan dengan pembacaan. Jelas, tiada lagi jawapan kedua daripada persoalan yang timbul. Hubungan lelaki dan perempuan tanpa suatu ikatan yang sah itu sememangnya haram. Walaupun aku cuba membatasi hubungan ini dengan keimanan namun yang tidak kelihatan jelas lebih merosakkan. Baru aku sedar berdosanya hati ini tika mengingati insan bernama lelaki itu kerana aku menjerumus diriku ke dalam zina hati. Ya’Allah aku telah melakukan zina tanpa sedar. Tidak, aku tidak mahu menjadi hambaMu yang hidup tanpa mendapat keberkatan dan matiku dalam keadaan aku diselubungi dosa yang tidak berkesudahan. Tidak sama sekali.
                Doaku panjatkan kepada pencipta jasad ini agar kesedaran hadir dalam diri. Namun tika dua hati bersatu angkara tautan iblis, mampukan hubungan itu dileraikan dengan mudah semudah ia dijalinkan dulu. Saat itu jiwaku bertarung antara kebenaran dan kebatilan. Kepastian tentang kebenaran itu sememangnya telah jelas namun bagaimana harus aku lakukan untuk meluputkan kebatilan yang aku lakukan. Diri ini bermain dengan pelbagai persoalan. Dilema ini membuat aku kerisauan kerana aku sedang bermain dengan hati insan lain. Mampukah si dia menerima keputusan aku nanti jika kata keinsafan ini aku sampaikan. Bimbang juga hati ini jika maki hamun bakal terhambur dari insan itu nanti. Namun aku ada terbaca dalam sebuah artikel, melalui artikel itu aku mendapat kekuatan bahwa “biarlah kita dibenci insan bernama manusia daripada kita dibenci Allah pemilik alam”. Hati aku teguhkan sekuat mampu, dan niat hati yang sedia terpendam aku kirimkan kepada insan itu.
            Alhamdulillah, Allah menyayangiku. Si dia menerima keputusanku tanpa memendam sekelumit dendam. Hanya tangisan ketenangan yang tercipta tika itu. Aku lepaskan cinta dia demi mendapat cinta Yang Maha Esa. Kata penamat aku benihkan dalam diri bahawa tidak akan hadir lagi cinta manusia dalam hati ini sehinggalah tiba waktunya nanti. Aku mahu hati ini menjadi milik insan yang benar-benar berhak mendiami takhta sekeping hati. Cukuplah cinta lalu menjadi sejarah dalam hidupku. Akan aku kuatkan ketenangan ini agar terus berkekalan walaupun tanpa cinta insan bernama lelaki selain cinta suami yang bakal hadir nanti. Insyaallah….
            Setelah menempuhi pelbagai liku dunia yang penuh onak dan duri, aku semakin matang bersama usia. Kini, aku telah berada pada tahun dua di universiti yang tersergam indah iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kisah suka duka semalam cukup bermakna buatku dalam memotivasikan diri sebagai seorang anak kampung yang inginkan kejayaan. Tidak pernah aku kesali kerana dilahirkan dalam situasi yang cukup sukar untuk dihadapi. Keterbatasan aku dalam menikmati kehidupan remaja, aku anggap agenda terbaik ayah ibu dalam membentuk perilaku aku sehingga menjadi insan yang berguna. Aku yakin hari ini ibu dan ayah mampu duduk tersenyum di teratak usang milik kami itu dengan penuh bangga. Walaupun mereka masih kekurangan dalam menikmati harta dunia tetapi aku harap ibu ayahku mampu berlapang dada kerana harta akhirat yang dibina. Anak-anak mereka yang sedang gigih berusaha ini akan memastikan kebahagiaan yang diimpikan menjadi milik mereka. Ini bukanlah suatu janji tetapi suatu tuntutan yang harus dipenuhi sebagai insan bergelar anak.
            Sesungguhnya kehidupan ini sangat indah jika dihargai dengan segenap nadi. Aku mensyukuri nikmat kehidupan yang dihiasi dengan pelbagai bunga dan duri. Segalanya ku jadikan butir semangat dalam aku memperjuangkan nasib diri dan keluarga. Kasih sayang insan-insan tersayang yang menghuni di sudut hati ini merupakan inspirasi yang setia abadi di hati. Tidak akan sesekali aku lupakan nama-nama insan yang seiring berjalan mengharungi kehidupan duniawi ini. Doaku moga mereka sentiasa setia menghayunkan gerak nadi yang masih ada untuk bersama aku menikmati suka duka. Kebahagiaan yang mereka cipta telah membuat aku lebih yakin untuk mengharungi segala rintangan dalam kehidupan. Terima kasih ibu ayah, keluarga tersayang serta sahabat yang setia dalam perjuangan kerana membahagiakan diri ini sehingga kini. Tidak dapatku ungkapkan rasa penghargaan cuma ku mampu menadah tangan memohon keredhaan. Moga Allah SWT merahmati kalian.
           

Lagu jiwang kejap..

Panji


Sayap Terluka

Dalam keributan hembusan beliung
Terbanglah aku sang camar hina
Mencari singgahan andainya kau sudi
Menghampar kasih di pantai hati

Dah lama kupuja kini jadi nyata
Sayang hanya untuk seketika
Sayap ku terluka ditimpa bencana
Akhirnya diri aku sendiri yang sengsara

( korus )
Ku tahu diri ini bagai menggapai bintang di langit
Tersingkir jatuh tiada pernah kau peduli
Rapuhnya cinta kita patah terkulai di ranting hampa
Pedih terluka tiada siapa yang endahkan

Biar derita biar sengsara aku rela
Menjadi mangsamu
Akanku simpan di nurani ini kenangan antara kita
( hingga akhir nanti oh... )

(2)
Kini kan tinggal cinta dan kasihku
Umpama pungguk merindu bulan
Tak mungkin tercapai hasrat hati ini
Biarpun harus ku tunggu seribu tahun lagi

( ulang korus & 2 )

Si kecil kesayangan

Ermm...saat mata menatap laman sosial bernama "FB" terhenti anak mata seketika saat melihat si keil kesayangan sedang gembira beraksi di dalam gmbar....Arghhh..wndunya pada insan kecil bernama "Nur Ieman Syaffiah".....Nak tgk x budak comey yg busuk nihh??

Cnfrm tngan 'pak dia' tue....

tengok syaper tu..??
Haaa...ni dier.....

 **Achik wndu eiman cngat2.....




Haruskah aku membiarkan dia pergi

Hati gadis mn yg tak terusik tika dirinya diminati insan bnama lelaki...Namun dlm kerendahan dri dan kekuatan hati dia berusaha menolak segala yang terjadi demi menagih cinta hakiki....

Itulah yg berlaku pada seorang insan bnama "si gadis"..
Tika diri sedang gigih menjalankan amanah ayahanda dan bonda di medan jihad hatinya diusik oleh seorang insan yg tidak halal baginya tika ini. Hati terkelu tatkala salam psahabatn dihulurkan tanda inginkan sebuah ikatan bernama sahabat. Namun hati gdis mana yg tdk terusik tika seorg lelaki mnduga hatinya dengan rantaian perkenalan yg tdk pernah diduga. 
Pada si gadis, ckuplah setakat ini jgn dihasuti hati kecil ini lagi..Perkara semalam tdk mungkin akan diulangi. Cinta sejati hanya milik Ilahi dan cinta si lelaki telah ditetapkn utk si suami. Namun syaitan tdk pernah mengenal erti kalah dalam menghasut si anak adam...Hati si gadis semakin hari semakin terusik tatkala salam perkabaran diterima...Mulai itu, mata mulai meneroka mencari si pemilik empunya nama yang tidak pernah dikenalinya. Saat diri terduduk terpaku di medan jihad, mata meliar mencari sebuah kepastian....Diakah?!

Ya'ALLAH.....jangan kau duga hatiku lagi....

Sekian lama mencari jawapan kpda sebuah kepastian, akhirnya hati mulai berkira dgn angan dan dosa semalam. Hati yang terusik ini mengundang titik2 dosa yg entah bila akan berkesudahan.Tangan ditadah mohon kepastian kepada sebuah jawapan...Ingin sekali si gadis memohon agar diluputkan ingtan kepada segala persoalan. Kadang-kadang tumpah jua air mata keinsafan si gadis tatkala diri ikhlas menyembah pada Ilahi..Tangisan kehampaan mengenangkan kerapuhan hati tika diuji..ratapan keinsafan diluahkan kehadrat Ilahi dengan penuh syahdu agar ujian yang datang cepat berlalu....

"Andai dia bukan pemilik tulang rusukku jauhkan ia dari ingatanku, jika dia adalah anugerah Allah buatku ketemukanlah kami tika tiba saatnya"

Berderai air mata si gadis tatkala hamparan sejadah disujud memohon keampunan Allah.. Sesungguhnya hati si gadis tidak tenang saat ujian hati datang menyapa.Dirasanya diri begitu lemah dalam menjadi hamba Allah SWT.Begitu lemah keimanannya dalam menerima dugaan Tuhan...


Namun, kekuatan tetap dikumpul dengan harapan ketenangan segera dicapai.Hati dikuatkan....Insan yang hadir tanpa dipinta dilupakan...Demi sebuah harapan,hati ini akan tenang lagi......

**Ya'ALLAH...bawalah kenangan itu pergi bersama angin semalam...Hadirkah angin bayu yg mampu menengangkan hati yg diselimuti kekusutan ini demi sebuah harapan agar dosa semalam terus tenggelam bersama cinta dan harapan....

Nukilan
~Imanina Insyirah~
25/03/2011

Hatiku kian diuji

Hati.....jangan kau menangis lagi,
Dia datang cuma membawa hamparan persahabatan,
Jangan kau selimuti ia dengan sejuta perasaan,
Cukup sekadar insan bernama teman.

Namun, tika hati dirisik meminta kepastian,
Hati ini mulai  bergolak,
Siapakah dia,
Diakah utusan Allah SWT buatku,
Diakah empunya tulang rusukku,
Diakah.....

Hatiku mulai bermain dengan seribu satu persoalan,
Kenapa dia tiba saat aku sedang kelapangan,
Tahukah si dia bahawa hatiku sedang sedih manatap situasi yang tiba,
Sesungguhnya aku terlalu lemah,
Hatiku terlalu goyah tika dicuit,
Aku tersiksa dengan rasa ini.

Doaku panjatkan tanda inginkn kepastian,
Aku pohon moga hati ini kembali tenang,
Cukuplah sekali,
Aku tidak mahu ulangi lagi.

Kutabahkan hati,
Moga dia tersimpan abadi untuk insan bernama suami,
Tidak inginku biarkan insan lain menyentuhnya,
Keperitan semalam cukup menyiksakan,
Aku tak ingin ia berulang lagi,
Kerana ia hanya milik hakiki.

jgn diusik hati ini lg...

*Ya'ALLAH...kuatkn hatiku tika aku dibadai ombak semalam yg menyiksakan. Jangan kau dekati aku dengan cubaan yg mampu mnggoyahkan hatiku...tetapkn aku pada AgamaMu..hanya itu yg aku mahu...