BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 1 August 2011

Tadahan kehidupan dunia


Assalamualaikum….salam pembuka bicara kata dengan harapan moga tiap patah kata yang bakal ku sisipkan dalam nota kata kali ini mampu menjadi sumber motivasi kepada diri dan anda si pembaca yang insyallah setia dalam jagaan Allah s.w.t.
Salam perjuangan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa utuh berjuang di jalan Allah s.w.t. Moga kita semua sentiasa diberi kemudahan dalam usaha mengejar kejayaan dunia yang menjadi bekalan di alam abadi sana nanti. Namun dalam usaha kita mengejar kebahagian dunia dan akhirat, pelbagai dugaan datang melanda tanpa mengira masa dan ketika, bentuk dan rupa serta kesukaran yang tiba. Namun siapalah kita untuk mengeluh mengatakan segala yang tiba. Kita cuma hamba yang setia di lapang perjuang yang tiada berkesudahan. Tetapi dalam kita menghadapi kesusahan dan dugaan sedarlah bahawa segalanya datang berpunca dan bukan suka-suka.
Kita gagal bukan kerana kita akan kalah selamanya tetapi Allah mahu menguji kita agar tidak mudah berputus asa.
Kita ditinggalkan insan tersayang bukan bermakna Allah ingin melihat kita meratap diri keseorangan tetapi Allah mahu kita sedar bahawa mungkin dia bukan terbaik buat kita.
Kita dikhianati tanpa kata bukan kerana Allah mahu menganiaya kita tetapi Allah mahu kita bersabar dan sedar bahawa itu ujian dan manusia tidak semuanya sempurna.
Kita sentiasa dalam kesusahan hidup yang tidak berkesudahan bukan kerana Allah mahu kita dihukum atas kesilapan silam tetapi Allah mahu melihat kita setia dalam usaha dan doa.
Sesungguhnya Allah berfirma:
Firman Allah:
"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya."
Jadi kenapa kita harus merintih, menyesal dan membiarkan hati kita keluh kesah atas kesusahan hidup yang berlaku. Terimalah segalanya sebagai ujian Allah kepada seorang hamba bukan untuk menjatuhkan kekuatan hambanya tetapi semata-mata untuk mendidik kita ke jalan kebenaran dan lebih mendekati-Nya. Kerana bagaikan menjadi fitrah kita manusia tika kesukaran menimpa kita akan lebih dekat dengan pencipta kita. Mengadu segala kesusahan yang datang tiba. Memohon ditunjukkan jalan kebenaran agar pintu kemudahan dibuka demi sebuah kehidupan. Itulah kita manusia.
Namun tika kesenangan datang meruntun di atas riba, di mana kita letakkan Dia di hati kita? Kita sibuk dengan sejuta kesibukan dunia. Saat itu kita rasakan seolah-olah tiada lagi dunia kedua yang bakal kita duduki kelak. Tanpa kita sedar sebenarnya di sana nanti segala yang berlaku kini akan menjadi perhitungan Allah. Ya’Allah…..berapa orang sahaja yang merintih hiba di malam hari menyesali kesilapan diri di dunia yang fana ini?? Dan berapa orang pula yang menyoroti lorong hina kehidupan dunia demi menikmati sisa keseronokan duniawi? Saat kita berfikir tentang itu juga kita akan mula bertanya kepada diri kita di manakah kita tempatkan diri kita tika ini??
Sungguh, hati seolah berbolak-balik antara cinta dunia dan akhirat sana walaupun hati ini tetap utuh memilih kehidupan di sana namun dugaan dunia terlalu hebat. Kekadang kita gojah sendiri walaupun kekuatan mulai dikumpul dalam kekalutan dunia. Kekuatan demi kekuatan di kumpul agar kehidupan di akhirat sana kita mendapat sejuta kenikmatan yang tiada sempadan.
Dan, hati ini sentiasa ingin lurus pada landasan yang hebat ini.. Namun segalanya kita harus serahkan pada Dia yang lebih hebat dalam merancang setiap lakaran kehidupan kita. Namun jika kita sentiasakita harus serahkan pada Dia yang lebih hebat dalam merancang setiap lakaran kehidupan kita. Namun jika kita sentiasa berusaha ke arah yang terbaik pasti yang baik juga kita akan perolehi. Yakinlah bahawa Allah itu maha adil kepada setiap hambanya. Namun jika kita telah berusaha sehabis daya namun tiada kejayaan yang masih datang menjengah tiba anggaplah itu sebagai suatu dugaan Dia kepada hambanya bukan untuk mentusahlan kita tetapi meningkatkan keimanan dalam dada….Insya-ALLAH
Semoga kita semua sentiasa dalam jagaan Ilahi dan diberkati dalam apa jua yang terjadi.
“Kehidupan ini kadang-kadang ibarat sebuah jalan raya…kita kadang ligat bergerak dalam keselesaan hidup dunia, kekadang kita sesak dalam kesibukan dan kesulitan dan kekadang kegagalan datang menjengah tanpa dipinta. Namun sebagai jalan yang setia kita tetap menghadapinya kerana itu adalah liku kehidupan kita dan segala itu akan menjadi lakaran cerita terindah dalam hidup seorang hamba bernama manusia.”

0 comments: